Monday, June 15, 2009

Kajian dapati semua kaum tak dapat lupa kekejaman bekas Setiausaha Agung PKM

Berita Harian 16 Jun 09

YAN: Kajian yang dilaksanakan Jabatan Penerangan Malaysia mendapati kira-kira 80 peratus daripada rakyat Malaysia tidak mahu bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan pulang atau diberi kerakyatan negara ini. Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Abdullah Morad berkata, kaji selidik berkumpulan yang membabitkan 10,000 responden itu mendapati rata-rata masyarakat tidak bersetuju jika Chin Peng dibenarkan pulang ke negara ini. Beliau berkata, kaji selidik itu dilakukan Jabatan Penerangan terhadap pelbagai kaum di seluruh negara berikutan wujud cadangan daripada pihak tertentu yang mahu supaya Chin Peng dibenarkan pulang atas dasar kemanusiaan.
"Kajian mendapati rakyat semua kaum tidak dapat menerima Chin Peng kerana kekejaman yang pernah dilakukannya sewaktu zaman darurat dan selepas negara mencapai kemerdekaan," katanya selepas merasmikan Program Sepakat Bestari di sini, semalam. Katanya, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan Chin Peng dibenar pulang atas alasan kerajaan pernah membenarkan beberapa anggota komunis pulang ke tanah air hanya akan menimbulkan kekeliruan. "Negara boleh menjadi porak peranda dan rakyat akan terkeliru jika isu Chin Peng terus dimainkan oleh pemimpin politik pembangkang sebagai modal meraih simpati. Walaupun rakyat menolak kepulangan Chin Peng, masih ada pemimpin politik menjadikan ia isu," katanya.
Beliau berkata, pemimpin berkenaan seharusnya mengambil kira suara rakyat dari semua kaum yang cintakan negara ini serta perlu menghormati prinsip Rukun Negara serta keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang. Sementara itu, Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) berkata, Anwar seharusnya berusaha membela nasib bekas tentera yang berjuang mempertahankan negara pada zaman komunis, bukannya membawa masuk Chin Peng ke Malaysia. Presiden PBTM, Datuk Muhammad Abdul Ghani, berkata ramai bekas tentera yang cacat anggota akibat berjuang mempertahankan kedaulatan negara pada zaman komunis kini masih menerima elaun bulanan hilang upaya antara RM56.20 hingga RM400 sebulan saja. Katanya, jumlah elaun itu harus diperjuangkan semua pihak termasuk Anwar supaya taraf hidup nasib bekas tentera yang berjasa dan berkorban demi tanah air mereka dapat dipertingkatkan, bukannya membawa masuk Chin Peng.
"Dianggarkan 400 orang lagi bekas tentera yang menentang komunis cacat anggota masih menerima elaun hilang upaya kurang RM100 hingga RM400 sebulan dan ini memberi kesan besar terhadap ekonomi kehidupan mereka terutama pada zaman sekarang. "PBTM meminta Anwar bersama membantu memperjuang nasib pejuang negara ini bukannya menambahkan penderitaan jiwa mereka dengan berusaha membawa masuk Chin Peng," katanya pada majlis penyampaian sumbangan kepada bekas tentera di Kota Bharu. Muhammad berkata, ideologi komunis masih wujud di Malaysia dan ini dapat dilihat kepada mereka yang memberi sokongan kepada komunis seperti cadangan membawa masuk bekas ketua PKM itu dan tindakan Anwar jelas bertujuan mendapat publisiti murah. Beliau berkata, PBTM akan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bekas Polis untuk mengadakan satu perhimpunan secara aman dalam menyatakan hasrat kepada kerajaan supaya jangan membenarkan Chin Peng kembali ke Malaysia.

No comments: