Sunday, January 10, 2010

Tiga lagi gereja, sekolah, surau sasaran serangan

Rakyat tak perlu bimbang insiden terpencil BUKIT BERUNTUNG: Tiga lagi gereja, satu sekolah dan sebuah surau menjadi sasaran serangan bom petrol dan batu oleh pihak tidak bertanggungjawab, semalam, tetapi keadaan keseluruhannya amat terkawal, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Hishammuddin memberi jaminan rakyat tidak perlu bimbang dengan beberapa insiden terpencil itu kerana keadaan adalah terkawal.
"Saya meminta orang ramai jangan terpengaruh dengan laporan segelintir media asing mengenai apa yang berlaku kerana kejadian sebenar tidak serius seperti digembar-gemburkan mereka. "Malah, Ketua Polis Negara sudah diarah memantau semua blog, internet dan SMS yang menyebarkan khabar angin sehingga mencetuskan kebimbangan rakyat serta ambil tindakan tegas terhadap mereka yang mendalanginya," katanya pada sidang media selepas menyertai Program Juara Rakyat di Bandar Bukit Sentosa di sini, semalam. Dalam kejadian terbaru pagi semalam, dua gereja di Taiping iaitu Gereja All Saints di Jalan Taming Sari dan Gereja Saints Louis di Jalan Lumba Kuda serta pos pengawal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent dilempar bom petrol tetapi tiada kebakaran berlaku.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata hanya ada kesan hitam pada dinding luar kedua-dua gereja itu akibat api kecil, tetapi tiada kerosakan. "Siasatan awal polis mendapati ada dua botol dan dua kesan hitam pada dinding Gereja All Saints, manakala satu botol pecah dan kesan hitam ditemui pada dinding luar Gereja Saints Louis," katanya. Bagaimanapun, SMK Convent akan dibuka sekolah seperti biasa hari ini. Di KUCHING, gereja God Shepard (Evangelist) di Lutong, Miri, mengalami kerosakan kecil selepas salah satu tingkap bilik air dan satu tingkap bangunan dibaling batu, dipercayai dilakukan individu 'nakal'.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh, berkata kerosakan itu hanya dikesan penjaga rumah ibadah itu jam 7.30 pagi semalam. Sementara itu, Hishammuddin mengesahkan sebuah surau di Klang, Selangor turut dibaling batu. Hishammuddin juga menegaskan Kementerian Dalam Negeri akan mengatur sesi penjelasan kepada kedutaan asing di sini dan kedutaan Malaysia di negara asing kerana ramai rakyat Malaysia di luar negara mahu mengetahui perkembangan sebenar. Beliau menyifatkan semua tujuh kes dilaporkan setakat ini adalah insiden terpencil dan tiada kaitan antara satu sama lain. Ditanya sama ada kejadian itu ada kaitan dengan pihak ketiga, beliau yakin ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan. Hishammuddin juga mengingatkan pihak yang cuba mengaitkan Umno dan kerajaan dalam isu itu supaya menghentikannya serta memikirkan sebaik-baiknya kerana mereka akan bertanggungjawab sekiranya sesuatu yang buruk berlaku. "Tuduhan mengatakan Umno di belakang semua kejadian itu adalah fitnah yang amat dahsyat dan akhirnya orang akan tahu kerana kita sudah mempunyai maklumat siapa yang terbabit," katanya. Dalam pada itu, gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang rosak akibat kebakaran Jumaat lalu, menerima sumbangan RM100,000 dari Yayasan CIMB, semalam. Sumbangan disampaikan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Tun Razak di Wisma MCA, Jalan Ampang dekat sini, yang kini dijadikan tempat ibadat sementara penganut gereja itu. Wakil gereja itu, Robert Tan, berkata wang berkenaan akan digunakan untuk membina gereja baru di Batu Caves. Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan kerajaan berjumlah RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle.





P/S : Isu penggunaan kalimah Allah tidak perlulah digembar-gemburkan oleh media,namun saya sendiri tidak menafikan bahawa kalimah Allah merupakan satu isu yang sangat sensitif...Dari pendapat peribadi saya sebagai orang islam yang masih mempunyai dan megamalkan cara hidup islam.Saya berpendapat,adalah lebih baik sekiranya kita sebagai umat islam memandang penggunaan kalimah Allah oleh majalah terbitan kristian sebagai satu langkah yang baik.Kerana Allah itu Tuhan semesta alam...Walaupun mereka mengamalkan ajaran yang bertentangan dengan kita...Adalah lebih baik kita mencontohi cara mereka...Berdakwah..Kerana dapat kita tengok muda-mudi zaman sekarang sudah rendah nilai agamanya.Sepatutnya umat islam melebarkan dakwah untuk menambahkan bilangan penganut islam,bukan bertelagah sesama sendiri dan saling menyalahkan orang lain.Manakala bagi tindakan khianat iaitu melonar molotov koktel di gereja-gereja kemungkinan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melaga-lagakan orang islam dan kristian di negara ini.Walau apapun yang saya taipkan di sini hanyalah pandangan dari sudut peribadi saya.Apapun ,umat islam perlu bersatu padu agar kita tidak menjadi seperti negara-negara islam yang hancur oleh kerana saling bertelagah sesama sendiri dan memudahkan pihak musuh untuk menyerang.Renung-renungkan sejenak.

1 comment:

lagenda said...

Salam Ziarah.......

Isu ini amat sensitif dan jika tidak dikawal dengan sebaiknya oleh kerajaan dikuatiri akan menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini didalam negara kita oleh itu diminta semua pihak harus bersabar dan sama-sama kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menanganinya