Sunday, July 5, 2009

350 agensi pembantu rumah bakal rugi RM13j

KUALA LUMPUR 4 Julai - Sebanyak 350 agensi pembantu rumah warga asing di bawah Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) bakal mengalami kerugian RM13 juta ekoran tindakan kerajaan Indonesia menghentikan penghantaran pembantu rumah rakyatnya ke negara ini.
Naib Presidennya, Jeffrey Foo berkata, kesemua agensi terlibat dijangka mengalami kerugian itu dalam bentuk deposit yang telah dibayar kepada ejen di republik tersebut.
Beliau sehubungan itu, merayu kerajaan supaya menggunakan saluran diplomatik bagi meminta kerajaan Indonesia menarik balik larangan berkenaan.
"Secara purata, dianggarkan kira-kira 5,000 pembantu rumah warga Indonesia akan dibawa masuk setiap bulan dengan bayaran deposit RM2,500 setiap seorang.
"Kita yakin ejen pembantu rumah di Indonesia enggan membayar balik wang deposit kerana tiada perjanjian dibuat berhubung perkara itu," katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Jeffrey memberitahu, kes-kes penderaan di kalangan pembantu rumah warga Indonesia hanyalah kes terpencil tetapi mendapat liputan meluas media.
Katanya, buktinya daripada kira-kira 320,000 warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah di negara ini, hanya beberapa kes sahaja dilaporkan.

No comments: