Wednesday, September 9, 2009

30 pelajar perubatan Malaysia bantu mangsa gempa bumi Indonesia

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 30 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar perubatan dari Malaysia yang menuntut di beberapa buah universiti di Indonesia telah digerakkan bagi membantu mangsa gempa bumi yang berlaku di pulau Jawa pada Rabu lepas yang setakat ini mengorbankan lebih 60 orang dan mencederakan 400 yang lain.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata penubuhan pasukan sukarelawan itu atas inisiatif Kelab Umno Luar Negara dengan kerjasama Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata pasukan itu yang diketuai oleh Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar telah membuat persiapan kelengkapan serta barangan dan telah mula bergerak ke kawasan bencana itu di Pengalengan Jawa barat semalam.
"Mereka akan memberikan bantuan makanan dan pakaian serta menyediakan juadah berbuka puasa kepada mangsa di kawasan terbabit selain membuat tinjauan dan penelitian bagi menentukan bantuan selanjutnya yang boleh dihulurkan kepada mangsa," kata Ahmad Shabery yang juga Pengerusi Kelab Umno Luar Negara.
Beliau berkata program itu adalah sebagai pendedahan kepada pelajar berkenaan untuk memberi khidmat kesukarelawan kepada penduduk yang terlibat dengan bencana alam. Menurut pihak berkuasa Indonesia gempa bumi sekuat 7.3 pada skala Richter itu memusnahkan lebih 87,000 buah rumah. BERNAMA

No comments: