Wednesday, September 2, 2009

Penggodam Indonesia serang laman web Malaysia

Susulan dakwaan Kuala Lumpur mengambil budaya mereka untuk promosiJAKARTA: Sekumpulan penggodam komputer Indonesia kelmarin mendakwa menyerang beberapa laman web Malaysia, insiden terbaru yang membayangkan kehampaan berterusan selepas Kuala Lumpur didakwa menggunakan tarian tradisi republik itu untuk mempromosi pelancongannya. Satu kenyataan dihantar ke sebuah blog bertajuk "Terselubung" berkata beberapa laman web Malaysia digodam dan dicacatkan.
Blog itu menyenaraikan lebih 120 alamat internet, termasuk domain bagi pendidikan Malaysia dan laman pelancongan. Namun pemeriksaan ke atas contoh laman web yang disenaraikan mendedahkan hanya beberapa daripadanya masih dicacatkan. Laman web rasmi Malaysia kembali pulih dan hanya beberapa laman web persendirian termasuk risalah syarikat pemasaran internet, masih memaparkan mesej penggodam, sementara yang lain tidak boleh dibuka atas beberapa sebab. Dengan lagu kebangsaan Indonesia dimainkan sebagai muzik latar, laman web risalah berkenaan digodam ditandatangani oleh M364tron dan berkata: "Satu demi satu anda mengambil budaya kami, namun kami tidak akan diam. Anda masih menjadi sasaran utama kami."
Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah melahirkan perasaan "kecewa" berhubung tindakan penggodam tempatan dan menggesa kedua pihak bertenang. "Saya fikir mereka memberi tindak balas dengan cara tidak wajar dan hanya memburukkan keadaan," kata Faizasyah. "Kami tidak percaya bahawa serangan ke atas laman web Malaysia diganggu secara besar-besaran sehingga mengganggu hubungan dua hala, namun mereka mungkin menyebabkan keadaan berang dari segi psikologi, justeru semua orang perlu bertenang." Musni Umar, seorang anggota tempatan Kumpulan Individu Terkemuka, satu pertubuhan pakar dan bekas pemimpin dari kedua negara, berkata penggodam keterlaluan dan insiden itu membabitkan hanya golongan muda yang sering bertindak secara emosi berbanding rasional.
"Saya tidak bimbang pada hari ini, saya bimbang apabila golongan muda ini mengambil alih pemerintahan negara dengan sangka buruk terhadap jiran mereka," katanya. "Ya kita perlu melakukan sesuatu mengenainya. Komunikasi dua hala perlu membabitkan belia bagi membantu mereka memahami perlunya mengekalkan hubungan baik dengan jiran." Perasaan berang dengan Malaysia memuncak lagi minggu lalu berhubung dakwaan bahawa satu tarian Bali digunakan bagi mempromosi satu rancangan televisyen mengenai Malaysia, walaupun didedahkan selepas itu tiada agensi kerajaan memainkan peranan dalam membuat iklan itu. - Agensi


( Sumber : http://mforum2.cari.com.my/ )

No comments: