Saturday, November 14, 2009

Kanak-kanak dihanyut arus ditemui mati

PADANG BESAR: Kanak-kanak berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihanyut arus deras ketika bermain air di Sungai Santan, petang kelmarin, ditemui mati pagi semalam selepas hampir 15 jam operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Mayat mangsa, Wan Nor Diana Wan Selamat yang menunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), ditemui jam 9.30 pagi dalam keadaan terapung di kawasan Padang Jejawi, dekat sini, kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan hilang, petang kelmarin. Difahamkan, mayat mangsa ditemui Bilal Masjid Santan, Ku Seman Ku Ibrahim, ketika memukat ikan di sungai terbabit dan dimaklumkan kepada penduduk kampung. Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Che Man Md Dros, ketika dihubungi semalam, mengesahkan penemuan mayat mangsa itu. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terapung sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan penduduk kampung. Mayat kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga bagi tujuan pengebumian,” katanya. Dalam kejadian kelmarin, Wan Nor Diana dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras, sebaik tergelincir ke dalam Sungai Santan.
Ketika kejadian, mangsa dikatakan menemani tiga rakannya yang lain bermain air di sungai terbabit yang terletak kira-kira 1.5 km dari rumahnya pada jam 5.30 petang. Sehubungan itu, gerakan mencari dan menyelamatkan mangsa segera dijalankan dengan bantuan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat. Bagaimanapun, mangsa gagal dikesan. Sementara itu, bapa mangsa, Wan Selamat Wan Ibrahim, 43, berkata dia langsung tidak menyangka anaknya itu menuju ke sungai, kerana dia dimaklumkan Wan Nor Diana keluar bersama rakan untuk bermain. “Dia tidak pandai berenang, Justeru, saya percaya dia tidak akan berani untuk bermain di sungai terbabit.
“Apa pun, takdir sudah menetapkan ajal anak perempuan saya di sungai berkenaan dan saya reda," katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF semalam. Hadiah sama menziarahi mangsa di bilik mayat, Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Sabry Ahmad dan Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis, Azali Abas.

No comments: