Saturday, November 14, 2009

Sekolah satu aliran....

ISU pelaksanaan dasar sekolah satu aliran di Malaysia bukanlah sesuatu yang baru, tetapi ia ditimbulkan dari semasa ke semasa. Terbaru, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Khay Kim melontarkan cadangan supaya kerajaan menyusun semula sistem pendidikan dengan melaksanakan sekolah satu aliran selaras dengan gagasan 1Malaysia.
Cadangan dan saranan itu bukan kali pertama dibuat Profesor Khoo, tetapi setiap kali beliau mengemukakan cadangan itu, bantahan pelbagai pihak kedengaran. Tidak kurang juga yang menyokong pelaksanaan dasar sekolah satu aliran itu. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memaklumkan dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia.Kalau dilihat, ia sememangnya bukan isu baru kerana ia sudah lama di perkatakan. Dengan kekerapan isu ini ditimbulkan, adakah sistem pendidikan di negara kita ini benar-benar bersedia untuk melaksanakan sekolah satu aliran?Apakah sebenarnya kaedah atau langkah terbaik yang perlu diambil bagi merealisasikan sekolah satu aliran? Wajarkah ia dilaksanakan?Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata sekolah satu aliran adalah langkah terbaik terutama untuk negara yang pelbagai kaum seperti Malaysia.Bagaimanapun, katanya, untuk melaksanakannya, ia perlu mengambil kira banyak perkara terutama persamaan dan perbezaan kaum."Dalam pelaksanaan sekolah satu aliran, kita perlu melihat dan mengambil kira pelbagai perkara yang diinginkan setiap bangsa terutama pendidikan."Ini kerana kalau dilihat senario masyarakat berbilang kaum di negara kita ini, kebanyakan ibu bapa dari kaum Cina dan India lebih cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan berbanding sekolah kebangsaan."Mereka lebih cenderung memilih sekolah jenis kebangsaan adalah kerana mahu anak-anak mereka bukan saja mendapat ilmu dalam pelajaran, tetapi juga mampu mendalami kebudayaan serta mengenali asal-usul mereka dengan lebih dekat."Dan apabila memasuki sekolah menengah, mereka akan menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan yang mana terdiri daripada pelbagai kaum," katanya.Menurutnya, cadangan melaksanakan sekolah satu aliran tetap ditolak oleh sesetengah pihak bukan kerana tidak mahu, tetapi setiap kaum perlu memahami erti budaya Malaysia itu terlebih dahulu."Malaysia dikenali sebagai negara pelbagai kaum yang tinggal harmoni dan sentiasa hormat menghormati dalam apa juga keadaan terutama budaya."Jadi, untuk mengubah sesuatu dasar yang sudah lama diguna pakai, ia mengambil masa dan juga memerlukan penelitian kerana semua aspek perlu diambil kira."Jangan diganggu budaya Malaysia iaitu kepelbagaian bangsa dan agama semata-mata untuk mewujudkan sekolah satu aliran kerana ia akan memberikan banyak kesan kepada masyarakat kita," katanya.Kata Dr Zakaria lagi, beliau tidak mahu hanya kerana pelaksanaan sekolah satu aliran itu saja akan menyebabkan keharmonian negara kita tergugat seperti mana yang terjadi di negara lain.Mengulas mengenai kemampuan sebenar sekolah satu aliran dilaksanakan di negara ini, katanya, persamaan dan perbezaan dalam satu budaya perlu dititikberatkan."Ini kerana walaupun masyarakat kita boleh hidup dibawa satu rumpun, ada sesetengah perkara yang berbeza terutama kebudayaan yang sukar untuk diguna pakai semua kaum," katanya.Dalam hal ini, kita bukan saja perlu mengetengahkan sekolah satu aliran, tetapi juga persekolahan satu sesi sudah lama menunggu keputusan untuk dilaksanakan."Jika benar sekolah satu aliran ini mahu dilaksanakan, sesi persekolahan perlu dijalankan satu sesi dan bukannya dua sesi seperti mana sekarang."Kalau sesi persekolahan di negara ini dilaksanakan satu sesi iaitu dari jam 7.45 pagi hingga 4.00 petang, pastinya sekolah satu aliran dapat di laksanakan dengan sempurna," katanya.Pelaksanaan itu dapat dilakukan andai dua sesi persekolahan yang diguna pakai ditukar kepada satu sesi kerana masa murid di sekolah lebih panjang dan banyak perkara yang mereka boleh pelajari."Berbanding di negara jiran, sesi persekolahan hanya dijalankan satu sesi dan menggunakan satu aliran iaitu mengikut majoriti kaum mereka. "Bagaimanapun, kita tidak boleh melaksanakan sekolah satu aliran dengan mengikut majoriti kaum seperti mereka kerana kita perlu menghormati perbezaan yang ada pada setiap kaum."Tetapi apa yang boleh kita ikuti adalah dengan pelaksanaan satu sesi pembelajaran," katanya.Justeru itu, bagi Dr Zakaria, pelaksanaan sekolah satu aliran itu sudah boleh dilaksanakan di Malaysia andai semua persamaan dan perbezaan setiap kaum diteliti dan sesi persekolahan dilaksanakan dengan hanya satu sesi.Sementara itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Datuk Profesor Madya Mohd Ali Hassan berkata, sudah sampai masanya sekolah satu aliran itu dilaksanakan dan bukannya bertangguh lebih lama.Ini kerana, katanya, pelaksanaan sekolah satu aliran ini sebenarnya boleh meningkat perpaduan kaum selain ia selaras dengan gagasan 1Malaysia.Selain itu, pelaksanaan itu juga berupaya menyatukan bangsa dengan memantapkan bahasa Melayu sekali gus memperkasakan bahasa Inggeris."Dari dulu lagi sekolah satu aliran ini sepatutnya dilaksanakan kerana ia sebenarnya berupaya menyatu padukan kaum di samping mempelbagaikan penguasaan bahasa dikalangan masyarakat."Bagaimanapun, untuk melaksanakan dengan sempurna dan berkesan, sekolah kebangsaan sedia ada perlu diperkasa dan ditingkatkan," katanya.Menurutnya, dengan memperkasa sekolah kebangsaan yang sedia ada ini, ia akan menjadi pilihan utama masyarakat berbilang kaum untuk menghantar anak mereka menimba ilmu."Apabila sekolah kebangsaan diperkasakan, ibu bapa tidak lagi perlu menghantar anak mereka ke sekolah lain. "Dengan memperkenalkan mata pelajaran Bahasa Tamil dan juga Mandarin di dalam kokurikulum sekolah dan membuka peluang kepada pelajar lain mengikutinya menguatkan lagi daya tarikan sekolah kebangsaan."Ini bermakna Bahasa Tamil dan Mandarin bukan saja dipelajari oleh orang India dan Cina saja, tetapi semua bangsa boleh mempelajari bahasa itu dalam satu kelas," katanya.Kata Mohd Ali lagi, apabila sekolah kebangsaan diperkasakan, tenaga pengajarnya juga akan terdiri daripada pelbagai bangsa dan ia akan membantu dalam banyak perkara terutama dalam pembelajaran."Segala kemudahan dan prasarana juga akan ditingkatkan dalam langkah memperkasa sekolah kebangsaan dan ini sedikit sebanyak meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan, sekali gus menjadi pilihan utama dalam menimba ilmu," katanya.






Sumber : Harian Metro 15 November 2009

No comments: