Wednesday, November 4, 2009

Kelantan dapat wang ihsan tahun depan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu, kata Datuk Seri Najib Razak. Perdana Menteri berkata, pengagihan wang ihsan akan disalurkan dalam bentuk projek pembangunan serta program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan secara telus selepas berunding dengan kerajaan negeri. "Pembayaran wang ihsan itu diberi selepas Kerajaan Pusat mengambil kira keperluan untuk membangunkan Kelantan serta meningkatkan kesejahteraan hidup penduduknya selaras dengan arus pembangunan negara," katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian), Datuk Kamarudin Jaffar (Pas-Tumpat) dan Mohd Hatta Md Ramli (Pas-Kuala Krai) berhubung tuntutan royalti minyak bagi negeri itu. Najib berkata, Pusat meneliti isu tuntutan royalti petroleum oleh Kelantan daripada pelbagai sudut, termasuk perundangan berkaitan kuasa kerajaan dan pengurusan hasil petroleum negara. Katanya, dari segi perundangan, Kelantan seperti juga Terengganu hanya mempunyai hak untuk menuntut pembayaran royalti jika sumber petroleum dihasilkan dari pengairan negeri.
"Dalam hal ini, pengairan negeri masing-masing adalah ditakrifkan sebagai kawasan yang terletak tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri itu. "Pada masa ini, tiada pengeluaran petroleum dalam kawasan pengairan Kelantan dan Terengganu," katanya. Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan pertimbangan yang adil dan saksama diberikan kepada semua negeri agar tiada lapisan rakyat terpinggir dalam menikmati manfaat pembangunan negara, Kelantan turut diberi wang ihsan. Perdana Menteri berkata, berdasarkan maklumat Petronas, pada masa ini hanya terdapat satu medan petroleum, dikenali Medan Bumi Kelantan yang mengeluarkan hasil, tetapi ia terletak di luar perairan Kelantan.
Penjelasan Najib itu bagaimanapun dipersoalkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang tetap mahu kerajaan Pusat membayar royalti minyak. Salahuddin berkata, rakyat Kelantan bukan peminta sedekah dengan memohon wang ihsan, tapi mahu hak mereka, iaitu royalti minyak. Ketika Najib mahu menjawab dakwaan Salahuddin itu, Khalid Abdul Samad (Pas-Shah Alam) turut mencelah dengan mempertikaikan pemberian wang ihsan itu. Berikutan itu, Perdana Menteri menasihatkan pembangkang jangan bermain politik dalam isu itu kerana ia adalah untuk kepentingan rakyat Kelantan. "Apa yang hendak dipertikaikan lagi kerana kerajaan Pusat akan berunding dengan kerajaan negeri sebelum projek pembangunan dilaksanakan," katanya. Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Mohamad Aziz, pula menyindir pembangkang yang tidak pernah berpuas hati terhadap apa yang dilakukan kerajaan. "Apa jenis manusia yang tidak tahu untuk berterima kasih," katanya. Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian memberi amaran kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya tidak membuat kecoh atau bangun untuk mencelah tanpa kebenarannya. "Yang Berhormat... kalau Perdana Menteri, Menteri tidak datang, Yang Berhormat mahu mereka datang. Tetapi bila mereka datang menjawab soalan, Yang Berhormat tidak mahu dengar. Yang Berhormat syok cerita sendiri," katanya. Dalam sidang media selepas itu, Najib berkata, walaupun pembayaran wang ihsan kepada Kelantan tidak besar, ia akan dilakukan secara telus. "Ia adalah peruntukan tambahan yang akan disalurkan kepada rakyat Kelantan mulai tahun depan," katanya. Perdana Menteri berkata, jumlahnya bergantung kepada tahap pengeluaran minyak luar pesisir di negeri itu, namun dijangkakan pengeluaran awal tidaklah tinggi. "Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, kerajaan Pusat memberi peruntukan lebih RM7 bilion kepada Kelantan," katanya.

No comments: