Sunday, November 8, 2009

Utara: Tamak punca ditipu skim pelaburan internet

ALOR SETAR: Keinginan menjadi kaya cepat mendorong ramai pengguna membuat pelaburan mencecah ratusan ribu ringgit melalui pelaburan di internet sebelum mereka ditipu skim cepat kaya berkenaan. Penyangak skim itu menggunakan kelemahan manusia yang bersikap materialistik sebagai senjata untuk menipu wang hasil titik peluh pengguna yang menaruh harapan tinggi untuk menjadi kaya. Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Kedah, Mohd Salleh Ma'amor, berkata sehingga 28 Oktober lalu, 472 aduan penyelewengan skim cepat kaya dan gores dan menang di terima KPDNKK di seluruh negara.
Beliau berkata, walaupun kerajaan sudah mengharamkan kegiatan itu, masih ramai pengguna termasuk golongan profesional terpengaruh dengan kegiatan licik skim itu. Katanya, sindiket itu juga akan menggunakan pelbagai cara untuk menipu pengguna termasuk suri rumah yang sentiasa terdedah kepada kegiatan itu. "Pengguna perlu memainkan peranan dan sentiasa berwaspada dengan kegiatan licik ini. Aduan segera perlu dibuat kepada pihak KPDNKK sekiranya mereka didatangi oleh ejen berkenaan.
"Kita memantau kegiatan ini dan tindakan penguatkuasaan dijalankan untuk membendungnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Memperkasakan Pengguna Secara kerjasama Pintar bersama Lembaga kebajikan Perempuan Islam Negeri Kedah (LKPI), di sini. Hadir sama, Pengerusi LPKI Kedah, Datuk Daharah Ismail. Seminar sehari itu bertujuan mendedahkan ilmu kepenggunaan dan meningkatkan kesedaran kepenggunaan di kalangan masyarakat terutama kaum wanita selain menjalinkan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini terutama pertubuhan wanita.
Mohd Salleh berkata, sepanjang tahun ini, KPDNKK sudah melaksanakan sebanyak 15 program di seluruh negara bersama NGO bagi mewujudkan masyarakat pengguna bijak dan mengamalkan perlindungan kendiri serta tahu hak dan tanggung jawab sebagai pengguna. Beliau berkata, melalui kempen kuasa pengguna '1 Pengguna, 1 Suara' pengguna mempunyai kuasa membuat keputusan dan menentukan corak penggunaan sesuatu barangan dan perkhidmatan. Katanya, sebagai agensi yang bertanggung jawab terhadap hal ehwal kepenggunaan, pihaknya akan terus menyediakan pelbagai program pendidikan dengan bantuan NGO pengguna yang menjadi barisan hadapan kepada pengguna.




Sumber Berita Harian 9 November 2009



Bagi aku...mereka-mereka yang tertipu dengan skim cepat kaya di internet ni bukan bermakna mereka ni tamak..tetapi terpaksa,ekoran krisis ekonomi sekarang...keadaan ekonomi yang meruncing menyebabkan ramai mencari inisiatif tambahan untuk menambah pendapatan...Sekaligus terlalu berani mengambil risiko...Kita tidak sepatutnya menyalahkan mangsa penipuan ini semata-mata .seharusnya pihak yang terlibat dengan menipu orang ramai ini dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa kerana negara ini mempunyai undang-undang.Jika dibiarkan,lebih ramai orang yang akan terpedaya dengan skim-skim yang ditawarkan di internet .Pihak yang bertanggungjawab...Apa tunggu lagi?bertindaklah sekarang...

No comments: